Friday, December 5, 2008

JANGAN TAKUT!!!

Saya agak tertarik mengutarakan isu ini yang mana saya perolehi dari satu majalah yang baru saya beli iaitu SOLUSI. Dan ia sangat kena atau bertepatan dengan diri saya sendiri dan mungkin anda juga dengan rasa TAKUT! Tak kiralah apa yang perlu kita takut, mungkin takut hantu, takut tempat tinggi atau kita sebagai trader takut nak 'entry'. Semoga ketakutan yang membelenggu saya mahu pun anda akan terlerai. Di sini saya petik beberapa perkara yang perlu kita sama-sama fikirkan. Rasa takut adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani ketakutan itu dengan cara sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya,malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan. Tegasnya, apa perlu dilakukan agar kita berani menghadapi ketakutan? Berikut antara perkara-perkara yang wajar kita ketahui tentang ketakutan : 1- Kita bukan keseorangan Jika kita sedang menghadapi ketakutan-atas apa jua sebab dan keadaannya,percayalah kita bukan keseorangan. Semua manusia atas muka bumi ini mengalami perkara yang sama. Bahkan tokoh-tokoh besar pun pernah mengalami rasa takut dalam hidup. Sayidina Abu Bakar al- Siddiq pernah merasa takut ketika di dalam gua Thaur, lalu diingatkan oleh Rasulullah,"jangan takut, Allah bersama kita". 2- Jangan cuba lari, hadapi ketakutan itu. Namun tidak cukup setakat itu sahaja.Kita mesti naik setingkat lagi, yakni bagaimana kita menghadapi dan menanggani rasa takut itu. Ini membezakan antara orang 'besar' dan orang 'kecil' walaupun sama-sama mengalami ketakutan. Bagi orang 'kecil' ketakutan menyekat dan menghalang mereka daripada bertindak. Apabila takut, mereka menghindar dan cuba lari daripadanya. Mereka bertangguh. Tidak mahu bertindak kerana takut menanggung risiko. Lebih banyak rasa takut,lebih lama bertangguh, pasif dan berdiam diri. Jika inilah tindakan kita, maka kita sudah ditakluki oleh ketakutan. Apabila kita kurang pengalaman akibat tidak bertindak menghadapi ketakutan, kita akan terus jahil-terus tidak tahu bagaimana hendak mengatasi ketakutan dalam hidup. Dan ini menyebabkan timbulnya satu demi satu lagi ketakutan dalam hidup. 3- Jangan berdiam diri atau bertangguh, bertindak segera. Kajian pakar psikologi menunjukkan bahawa risiko tidak bertindak apabila menghadapi ketakutan lebih besar berbanding risiko jika kita mengambil tindakan. Memang, mungkin kita terdedah untuk tersalah kerana mengambil tindakan ini, tetapi itu tidak mengapa selama mana kita mendapat pengajaran dan ilmu daripadanya. Berbanding kita tidak berbuat apa-apa- sudah pasti kita tidak akan mendapat apa-apa. Oleh kerana itulah orang yang berjaya dalam hidup selalunya tidak menamakan 'kegagalan' sebagai satu kegagalan selepas mengambil sesuatu tindakan, sebaliknya mereka menamakannya sebagai 'maklum balas' yang kemudiannya diterjemahkan sebagi ilmu dan pengalaman. Percayalah, tindakan kita menghadapi ketakutan dalam hidup, akan memutuskan rantai-rantai yang membelenggu kemajuan kita dalam penjara ketakutan itu. Putusakan rantai itu dengan bertindak supaya ketakutan yang sama tidak akan kta hadapi berulang-ulang, satu demi satu dalam episod hidup yang terus mendatang. 4- Orang yang lari dan menghindar diri Mereka adalah golongan yang rugi. Kenapa? Kerana lari daripada situasi-situasi yang mereka takuti merencatkan pertumbuhan dan kamajuan hidup mereka sendiri. Mereka ingin terus berada dalam 'zon selesa'-tanpa cabaran dan dugaan yang boleh mendedahkan mereka kepada rasa ketakutan. Sedangkan untuk berjaya, mereka perlu 'hijrah' dari zon selesa ke zon mencabar, yang penuh dugaan dan cabaran walaupun risiko ketakutan sentiasa menanti. Di zon mencabar itulah letaknya kejayaan dan perkembangan dalam hidup. bersambung....... ( Rujukan : Tulisan Pahrol Mohamed Juoi : SOLUSI )

0 comments:

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP