Friday, September 12, 2008

Pengurusan Diri

Sememangnya ramai di antara kita sebagai FX Trader sibuk dengan sistem yang sesuai atau sistem yang boleh memberi profit. Kali ini, saya ingin share sesuatu yang lebih berharga daripada sistem iaitu MODAL paling utama dalam trading ialah KESIHATAN DIRI kita. Zig Ziglar, penceramah dan penulis motivasi menceritakan sebuah kisah menarik iaitu mengenai seekor kuda lumba hebat yang bernilai 5 juta dolar. Beliau bertanya, "Jika anda memiliki seekor kuda yang sehebat itu, adakah anda akan :
  • Memberikannya kopi dan teh sebagai permulaan harinya?
  • Memberikannya makanan segera yang penuh dengan gula?
  • Menguncinya di dalam bangsal, dengan hanya sebuah televisyen sebagai teman?
  • Tidak membenarkan ia bersenam?
  • Membenarkannya minum minuman keras dan berkarbonat?
  • Membenarkannya menghisap rokok untuk menenangkan diri?"
Bagi saya, perkara-perkara sedemikian tidak patut dilakukan walaupun terhadap seekor kucing atau arnab yang bernilai RM50, apa lagi terhadap seekor kuda juara! Tetapi mengapa ramai pedagang ( trader ) masih menjejaskan prestasi mereka dengan aktiviti-aktiviti dan objek-objek negatif yang disebutkan di atas? Salah satu sebab adalah TEKANAN. Memang sudah tentu, dagangan ini boleh menyebabkan tekanan, khususnya kepada mereka yang tidak memiliki :
  • Disiplin
  • Sebuah Pelan Dagangan
  • Tahap kesihatan yang baik
Saya rasa semua bersetuju bahawa badan kita sendiri merupakan modal yang terpenting.Kita seharusnya bertindak memastikan kesihatan dipelihara dan tinggalkan segala perkara-perkara negatif yang menjejaskan kesihatan diri. Bob Fisher, seorang bekas juara catur dunia, mempunyai satu rutin mengurangkan tekanan yang digunakannya sebelum setiap perlawanan penting:
  • Bermain catur dengah seorang profesional
  • Menumbuk sebuah beg tinju seberat 100 kilogram
  • Mengangkat berat
  • Berlari 10KM mengelilingi gimnasium
  • Berenang sebanyak 20 pusingan di dalam satu kolam bersaiz olimpik, dan berenang dua pusingan di bawah air untuk menguatkan paru-parunya.
Setelah selesai barulah beliau bersedia untuk bermain catur.Di dalam sebuah perlawanan catur tahap profesional, seorang pemain catur boleh hilang dalam lingkungan satu hingga dua kilogram berat badan. Oleh itu, bayangkanlah jumlah tenaga yang diperlukan bagi seseorang itu untuk berdagang pada tahap profesional. Menurut Dr Van Tharp ( Trading Psychologist ), persediaan sebelum bertempur boleh diperbaiki dengan meletakkan fokus pada empat kawasan pengurangan tekanan :
  • Kesihatan dan pemakanan
  • Senaman
  • Rekreasi
  • Ketenangan mental
Oleh itu, sama-samalah kita praktikan dan ambil iktibar daripada catatan ini. Semoga kita dapat memantapkan trading kita di samping mempunyai satu sistem trading yang kita yakini dan percayai.

0 comments:

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP